Friday, July 3, 2009

Flag this message Dasar pendidikan baru: Membantu atau melemahkan pelajar melayu?

Memang tidak dinafikan bahawa Bahasa Inggeris (BI) amat penting pada masa kini samada dalam bidang pembelajaran ataupun pekerjaan. Banyak ilmu-ilmu terkini (updated) diolah dalam bahasa Inggeris dimana kita dapat lihat hampir semua hasil kajian turut ditulis dalam BI. Namun, benarkah langkah kerajaan bagi meneruskan PPSMI dan mewajibkan BI sebagai satu matapelajaran wajib bagi mendapat kelulusan sijil SPM sebagai satu langkah yang wajar.


Mari kita renungkan. PPSMI yang diperkenalkan oleh kerajaan telah "diiktiraf" sebagai berjaya dimana hampir semua tahap peperiksaan menunjukkan kemeningkatan didalam bidang sains dan juga matematik samada dari peratusan kelulusan, gred A dan juga jumlah pelajar yang menjawab dalam BI. Namun, hasil kajian Prof. dari UPSI menunjukkan keputusan sebaliknya. Maka, hasil kajian siapakah yang salah?? Jawapannya ringkas, kedua-dua pihak tidak salah. Ini kerana, PPSMI telah menyebabkan penurunan graf kelulusan supaya pelajar yang lulus meningkat (termasuklah yang mendapat A), malah, walaupun pelajar tersebut hanya menggunakan 1 ayat "because of that" didalam kertas matematik dan sains, ianya telah dianggap sebagai menggunakan BI bagi menjawab kertas tersebut (sila rujuk guru yang menanda kertas peperiksaan). Yang lebih mengecewakan, apabila langkah ini diambil, pelajar yang sepatutnya tidak layak menduduki kelas sains (Sains Tulin atau setarafnya) ketika di tingkatan 4, mampu memasuki kelas tersebut apabila memperolehi A bagi kedua-dua subjek (sedangkan, ketika ujian percubaan atau lain-lain ujian, subjek tersebut hanya mendapat C). Masalah akan timbul apabila mereka mempelajarai matematik tambahan, fizik dan kimia dimana kebanyakkan mereka tidak mampu memahami konsep asas disebabkan lemahnya 2-2 subjek di sekolah rendah.


Bukan sekadar itu, kesan pengenalan PPSMI boleh dilihat dengan jelas di sekolah luar bandar dimana hampir semua pelajar luar bandar tidak memahami matematik dan sains apabila diajar dalam BI dan lebih menyedihkan, semakin ramai yang takut dan hilang minat terhadap 2 subjek terpenting ini. Malah, dari tinjauan saya sendiri (berbincang dengan beberapa guru luar bandar), mereka mengatakan hanya segelintir pelajar sahaja yang mampu menguasai 2 pelajaran yang penting ini, yang lain hanyut dibawa arus perubahan sistem pendidikan. Guru-guru mengambil inisiatif mengajar kembali subjek-subjek ini dalam bahasa melayu bagi memastikan pelajar mereka tidak putus asa. Ini bukan sahaja dilakukan oleh sekolah kebangsaan (SK) luar bandar, malah sekolah jenis kebangsaan (SJK) turut mengambil langkah yang sama. Mereka mengadakan masa tambahan selepas waktu persekolahan bagi mengajar matematik dan sains dalam bahasa ibunda. Persoalan kini, yang manakah paling penting? Pelajar yang menguasai konsep sebenar matematik dan sains bagi penguasaan dimasa hadapan atau pengusaan penggunaan BI bagi subjek tersebut?


Jika difikirkan dengan menggunakan akal saya yang kecil ini, tiada salahnya matematik dan sains diajar dalam bahasa ibunda atau bahasa kebangsaan. Ini kerana, pada tahap sekolah rendah dan sekolah menengah, mereka hanya perlu memahami konsep asas matematik dan sains. Konsep asas ini amatlah penting supaya mereka mendapat gambaran yang jelas tentang "jalan cerita" sebenar untuk 2 subjek ini (terutamanya bagi subjek Fizik, Kimia dan lain-lain). Mereka tidak perlu BI bagi mentelaah hasil kajian yang dilakukan oleh penyelidik-penyelidik dunia, samada di tahap sekolah menegah apatah lagi sekolah rendah. Maka pengenalan PPSMI bagi pelajar-pelajar mendapat ilmu terkini (updated) adalah tidak logik kerana mereka hanyalah anak yang baru sahaja hendak mengenali ilmu ini. Sepatutnya, kerajaan hanya perlu menguaatkusakan penggunaan bahasa inggeris di semua IPT. Ini kerana mereka yang terpilih sahaja (yang benar-benar inin belajar) yang akan meneruskan pengajian IPT. Maka, tidak mustahil bagai golongan ini untuk menguasai BI ketika di IPT tersebut. Selain itu, sememangnya IPT merupakan tempat bagi menimba ilmu yang terkini (updated) mengikut perkembangan semasa dan tempat melakukan kajian dan mentelaah hasil jakian penyelidik-penyelidik dari dalam dan luar negara.


Mengenai isu kedua, dimana BI menjadi subjek wajib bagi mendapatkan sijil SPM, kerajaan perlu mengkaji semula cadangan ini. Kerajaan perlu pertimbangkan, jika pelajar tersebut gagal (gred D atau E) untuk subjak BI, mereka tidak layak mendapat sijil, bermakna mereka tidak mempunyai sijil SPM untuk bekerja, memasuki tingkatan 6 apatah lagi memasuki IPTA/IPTS samada dalam peringkat diploma ataupun sijil. Ini bermakna, mereka tergantung begitu sahaja ataupun terpaksa mengambil semula SPM tersebut. Jika dipandang sekali imbas, kaum manakah yang paling lemah dalam BI? rata-rata kita akan dengar Orang MELAYU. maka, bukankah makin ramai pelajar melayu yang akan tergantung tanpa bertali apabila cadangan ini diluluskan? Makin ramai penganggur-penganggur yang tidak bekerja kerana tidak mempunyai sijil dan semakin tingkatnya masalah jenayah dinegara kita apabila mereka terdesak mencari sumber pendapatan?

Kerajaan tidak wajar memperkenalkan sistem ini pada masa sekarang. Banyak lagi perkara perlu dikaji sebelum sesuatu keputusan mengenai pendidikan dilaksanakan. Janganlah setiap kali bertukarnya menteri pendidikan, dasar pendidikan berubah lagi. Malah, penukaran sesuatu dasar tidak dilakukan dengan penyelidikan, sebaliknya hanya membuta tuli. Setelah terlaksananya dasar tersebut, barulah kajian dilakukan. Anak-anak malaysia bukan "robot" untuk dieksperimen. Jika dilihat, negara-negara maju, pendidikan adalah kebal dari pengaruh politik. setiap perubahan dalam pendidikan, perlu dilakukan soal selidik dan perbahasan yang panjang, bukan dilakukan sambil lewa dan mengejut.


Saya berharap, kerajaan perlu mengambil iktibar tentang apa yang telah berlaku. Lakukanlah penyelidikan yang mendalam sebelum sesuatu dasar diperkenalkan kerana inaya melibatkan rakyat dan kos yang tinggi. Janganlah hanya mementingkan idealogi yang "fantastic", sebaliknya lihatlah rakyat-rakyat yang dibawah. Semoga gagasan 1 malaysia tidak hanya untuk diluahkan, sebaliknya dipraktikan di semua tahap masyarakat.

2 comments:

  1. Saya sokong!
    UNDI JAY JAY!!!!!

    ReplyDelete
  2. Ish.... Tunggu la aku habis PhD baru undi...
    Leh jadi NC umur 28 tahun...
    mak ai...mudanyer....huahua....

    ReplyDelete